Followers

Akuarium Qu

Sunday, July 13, 2008

Pindaan AUKU

Utusan Malaysia,

SEPANG 13 Julai - Pindaan beberapa perkara dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bakal diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, setelah Kabinet bersetuju untuk meminda akta tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara utama yang akan diperbahaskan dalam pembentangan itu ialah mengenai kebebasan pelajar yang sering dipolitikkan oleh beberapa pihak.

Katanya, perbahasan mengenai pindaan AUKU itu akan dibuat pada pembentangan minggu ini jika sempat dan jika tidak, selewat-lewatnya bulan depan.

''Akta ini selalu dipolitikkan oleh pelbagai pihak terutama mengenai kebebasan pelajar. Kita tidak halang jika ia membabitkan kecemerlangan pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjaya Bagi Pemimpin Malaysia Akan Datang di sini hari ini.

Khaled bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pindaan kebebasan pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan politik.

''Saya tidak mahu mengulas lanjut, tunggu apabila saya bentangkan di Parlimen minggu ini dan sesi perbahasan mengenai perkara-perkara yang akan dipinda.

''Tetapi kita harap pelajar dapat fikir mana yang elok untuk mereka jika mereka libatkan diri dalam politik," katanya.

Sementara itu Khaled berkata, penstrukturan semula caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Khaled berkata, kementerian hanya menunggu keputusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan serta beberapa pihak lain setelah meneliti semua cadangan dan pandangan mereka.

''Kami hanya menunggu keputusan daripada Majlis Fatwa dan kita harap penghujung Julai ini kita akan ketahui," katanya.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini, terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion. Sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.



Komen:

Rupa-rupanya riba 3% dalam pinjaman PTPTN masih membelenggu pelajar IPT, inilah satu masalah yang terpaksa dihadapi oleh pelajar yang menuntut di universiti. Mana tidaknya terpaksa membayar bunga yang tinggi selepas membuat pinjaman. Walhal, bunga tersebut tidak sepatutnya ada. Boleh je pelajar membayar semula pinjaman mereka mengikut pinjaman yang sebenar. Tapi dunia semata-mata, ini hanyalah pendapat individu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak. Secara peribadi. Di mana hak mahasiswa yang sepatutnya...? Tunggu keputusan minggu depan bahawa ada ura-ura kadar bunga yang dikenakan akan ditukar kelak.

No comments: